Saturday, March 27, 2010

TENDER 'PELIK' KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Apa yang saya coretkan dibawah ini adalah luahan hati penduduk rumah pangsa lama Kg.Kerinchi. Mereka minta saya ketengahkan perkara ini di dalam blog saya. Saya tidak boleh menolak permintaan orang ramai. Selain dari bermain politik, tugas kita sebagai blogger juga adalah menolong orang ramai.

Rumah pangsa lama empat tingkat Kg.Kerinchi bakal dirobohkan tidak lama lagi. Ini bagi memberi laluan kepada pembinaan rumah yang lebih banyak dan selesa di kawasan berkenaan.

Penduduk sekarang akan dipindahkan ke rumah lain untuk sementara waktu, dan akan kembali ke kediaman baru di kawasan berkenaan apabila siap kelak.

Yang menjadi masalah kepada sebahagian penduduk sekarang ini ialah tentang tender 'pelik' yang dibuat oleh Kementerian Wilayah Persekutuan kepada pemaju yang akan membangun kawasan tersebut.

Kebiasaannya, apabila sesuatu projek hendak dibuat oleh kerajaan, maka kerajaan akan mengumumkan tender di dalam surat khabar atau website. Kontraktor yang berminat dan layak menyertai tender tersebut boleh datang membeli borang tender. Kemudian akan dinyatakan spesifikasi yang dikehendaki oleh kerajaan. Penender akan memberi sebutharga atau lain-lain yang diperlukan mengikut spesifikasi yang dinyatakan oleh pengeluar tender.

Setelah siap mengisi borang tender, maka kontraktor yang menyertai tender akan memulangkan semual borang tender mereka sebelum tarikh yang ditetapkan. Selepas itu satu j/kuasa tender akan bermesyuarat untuk menentukan syarikat mana yang layak mendapat tender tersebut.

Itu cerita tender biasa, dibawah ini pula cerita tender 'pelik' yang dikeluarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Saya difahamkan tiada pengiklanan tender dikeluarkan. Tetapi ada empat syarikat yang masuk tender berkenaan. Dari mana syarikat berkenaan mendapat tahu tentang tender berkenaan saya tidak pasti. Saya tidak mahu bersangka buruk.

Satu syarikat akan dipanggil setiap hari untuk membuat 'presentation' kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, apa yang boleh mereka tawarkan.

Hari ini, syarikat A datang membuat 'presentation' dia boleh bagi bla...bla...bla..... Esok pula syarikat B datang buat 'presentation' dia boleh bagi bla.....bla.... bla.... Begitulah seterusnya sehingga habis empat syarikat.

Kemudian penduduk diberitahu apa yang keempat-empat syarikat berkenaan boleh beri. Dan penduduk diberi pilihan untuk untuk memilih syarikat mana yang mereka hendak pilih melalui satu sistem pengundian yang akan diadakan esok (28/3/2010) di Kg.Kerinchi.

Anda nampak tak apa yang saya nampak di ayat yang saya merahkan ? Disitu kita boleh pertikaikan ketelusan.

Saya tidak mahu bersangka buruk. Cuma meragui sahaja. Jangan pula alasan penduduk yang membuat pilihan digunakan , jika tidak berlaku ketelusan.

Hari ini syarikat A datang bagi tawaran, bla...bla...bla... Tidak mustahil jika ada dikalangan orang dalam yang akan beritahu syarikat B yang akan datang buat 'presentatoin' keesokan hari supaya 'up' kan sedikit tawaran dari apa yang ditawarkan oleh syarikat A.

Begitu juga selepas syarikat B membuat tawaran, mungkin akan ada pula orang dalam yang akan memberitahu kepada syarikat C yang akan datang buat 'presentation' esok supaya 'up' kan sedikit lagi tawaran dari apa yang ditawarkan oleh syarikat A dan B.

Selepas itu, apabila berlaku pula pengundian, tidak mustahil juga berlaku 'politik wang' untuk membeli undi daripada penduduk yang hanya berjumlah lebih kurang 400 - 500 orang yang layak mengundi. Ianya boleh berlaku, setakat keluar RM 1-2 juta mereka tidak kisah, untuk tujuan mendapat projek yang bernilai puluhan juta.

Contohnya, syarikat A tawarkan RM 500.00 kepada seorang pengundi, kemudian datang pula syarikat B tawarkan RM 700.00, datang pula C tawarkan tinggi lagi, begitulah seterusnya. Pada malam terkahir sebelum pengundian,tawaran semakin meningkat,meningkat,meningkat dan terus meningkat lagi.

Akhir sekali, bila rumah siap kelak, rumah retak ,rumah bocor dan tidak mustahil rumah boleh runtuh. Yang menjadi mangsa adalah penduduk juga. Datanglah pula PRU ke 13, maka bungkuslah pula BN di Lembah Pantai.

Jika benarlah apa yang didakwa oleh sebahagian penduduk, saya berharap Menteri Wilayah dapat kaji balik perkara ini sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini. Harap juga SPRM dapat intai-intai sikit.

Kekadang niat baik kerajaan nak menolong rakyat, jadi rosak kerana sikap segelintir individu. Itulah yang membuatkan rakyat marah kepada kerajaan. Puak-puak sebelah sana duduk tunggu dan intai untuk tembak kerajaan.

Apa pendapat anda semua ?


Dibawah ini saya copy paste surat yang dihantar oleh penduduk kepada DBKL dan dihantar kepada saya melalui email.

Kepada dato

DBKL

Dato,

Per: Penangguhan Projek Pembangunan Semula ……….

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara tersebut di atas.

Untuk makluman pihak Dato, saya merupakan salah seorang daripada pemilik dan penduduk Kg Kerinchi yang pada masa ini dalam proses rancangan Pembangunan Semula. Projek pembangunan semula ini adalah di antara pihak penduduk dan pihak syarikat pemaju swasta dan melibatkan pihak DBKL sebagai pihak perantara.

Sehubungan dengan itu saya sebagai pihak terbabit ingin mendapat penerangan lebih lanjut berkenaan cadangan projek di atas. Terdapat beberapa kemuskyilan yang perlu di beri penelitian lebih lanjut agar projek tersebut di atas dapat memberi manfaat yang sebaiknya kepada pemilik-pemilik sedia ada. Untuk makluman pihak Dato, perkara yang tersenarai di sini adalah isu-isu yang sering dibangkitkan di kalangan penduduk.

i) sama ada cadangan pihak-pihak pemaju swasta adalah menepati garis panduan serta keperluan tender sebagai contohnya projek brief/pre-bid di mana semua pihak tersebut menawarkan tender berdasarkan asas yang sama

ii) sama ada tawaran pihak pemaju adalah munasabah berdasarkan keadaan semasa dan bukannya sekadar meraih keuntungan maksima dan tidak seimbang dengan pampasan yang diperoleh oleh pihak pemilik

iii) sama ada nilai pampasan telah ditetapkan oleh setiap pihak pemaju bagi tujuan penilaian dan perbandingan

iv) adakah sebarang laporan penilaian di buat bagi menentukan harga pasaran sebenar sebagai rujukan dalam menentukan cadangan pihak pemaju

v) jaminan bahawa kepadatan pembangunan yang dicadangkan adalah bersesuaian dengan infrastruktur dan kemudahan sedia ada atau yang akan di naik taraf bagi mengelakkan kerumitan kepada pihak penghuni di masa depan

Perkara tersebut di atas adalah merupakan antara beberapa daripada tanda tanya yang sering menjadi buah mulut penduduk. Saya sendiri tidak mempunyai latar belakang teknikal dan tidak arif berkenaan perkara di atas. Oleh yang demikian saya amat mengharapkan penjelasan daripada pihak tuan bagi diri saya dan juga ramai lagi pemilik yang turut berasa gelisah.

Sementara menunggu maklum balas pihak tuan, saya ingin mengesyorkan bahawa sebarang langkah seterusnya khususnya bagi pengundian pemilihan pihak pemaju pada 28hb Mac 2010 ditangguhkan sehingga penelitian lebih rapi terhadap tender tersebut serta pendapat pemilik diberi perhatian.

Sekian

Sk: Pemilik-pemilik






1 comment:

Anonymous said...

Perspektif Pertama:

Kalau tindakan seperti pembangunan semula ini tidak dicadangkan, maka tinggallah penghuni-penghuni Flat Kg. Kerinchi di flat yang usang tu lagi.

Kita berserah lah pada yang esa, semoga Allah memberi hidayah kepada mereka-mereka yang curang dan semoga Allah menghindarkan kita dari ketamakan haloba yang digemari syaitan.

Perspektif Kedua:

Tujuan pemilihan kontraktor secara undi ini dibuat ada juga baiknya dimana kita boleh menilai sendiri kontraktor yang ada dengan cara menyelidik tentang syarikat tersebut melalui internet atau secara telefon atau pergi ke pejabat mereka dan buat semakan tentang syarikat mereka.

Tentang apa yang dijanjikan kepada DBKL atau Kementerian bukan isunya lagi tapi tentang apa yang dijanjikan kepada penduduk-penduduk yang paling utama.

Perspektif Ketiga:

Jika pihak DBKL dan Kementerian membuka peluang ini kepada penduduk-penduduk seperti mencari kontraktor, maka akan terjadilah perebutan projek oleh penduduk itu sendiri dan mereka akan bertelagah sesama sendiri untuk menjadikan projek itu projek mereka. (Maklumlah dah ramai broker projek sekarang ni) dan pihak kerajaan pula tidak dapat berbuat apa-apa kerana bukan di atas penilaian mereka. Silap-silap haribulan jika kontraktor yang penduduk dapatkan kekeringan modal, mereka akan cabut lari dan rumah langsung tidak boleh disiapkan. Sekurang-kurangnya jika terdapat pemantauan dari pihak kerajaan, penduduk bolehlah relaks sebab kalau kontraktor buat salah, kerajaan juga yang nak kena siapkan.

Biasanya, kontraktor-kontraktor yang direkomen oleh pihak kerajaan adalah kontraktor yang mempunyai modal & pengalaman kerja yang memuaskan.

Bagi saya, jika kontraktor-kontraktor tersebut menjanjikan apa-apa kepada DBKL mahupun pihak Kementerian, maka kontraktor tersebut sudah salah langkah kerana kalau dapat projek tu, mereka sudah pun dalam kerugian.