Tuesday, September 28, 2010

Wajib Baca Tulisan Ini

Saya ingin menyeru semua pembaca blog ini agar membaca sepenuhnya apa yang ditulis oleh saudara Zulkefli Hamzah dalam kolum Nurani di Utusan Malaysia ms 8 hari ini.

Tulisannya cukup mantap, cukup rasa dan segala hujahnya mantap. Apa yang ditulis oleh beliau memang kena dengan selera saya dan mungkin juga selera anda.

Kepada Awang Selamat, saya minta izin untuk ambil tulisan tersebut ke blog ini.

Kenapa saya minta izin dari Awang Selamat terlebih dahulu ? Sesiapa yang baca kolum Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia ahad lepas akan tahu jawapannya.

Dipetik dari Utusan Online

Politikus parti ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) paling banyak menghentam proses pemilihan UMNO yang lalu. Jika menurut ukuran mereka, tiada pemimpin UMNO yang layak bergelar pemimpin. Mereka mudah dilabel sebagai perasuah, mengutamakan sanak-saudara dan kenalan sahaja.

Tapi lihatlah sekarang, sungguh waktu telah menentukan kebenaran. Dalam kegopohan menjadi parti paling demokratik, PKR terperangkap dengan tingkah laku dan wajah sebenar pemimpin serta ahlinya. Kini semuanya seperti terpercik ke muka mereka.

Dalam keghairahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu mencatat sejarah politik negara sebagai pelopor pemilihan satu ahli satu undi, tembelang mereka terdedah kepada umum.

Kepincangan parti dan aib pemimpin bukan sahaja didedahkan oleh bekas pemimpin berpengaruh parti itu tetapi juga calon-calon yang bertanding. Tentu sekali mereka tidak bergurau tetapi inilah wajah sebenar parti milik Anwar Ibrahim ini.

Mereka tidaklah setelus yang digambarkan. Demokrasi yang mereka banggakan tidak lebih hanya mainan lidah pemimpinnya. Keadilan hanya slogan kosong. Di peringkat pemilihan cabang dan pencalonan inipun, banyak cacat cela yang diperlihatkan.

Kes-kes 'tidak tertib' yang digambarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution seperti dipetik portal berita propembangkang Malaysiakini tentu sekali tidak menggambarkan situasi sebenar. Ternampak sangat insiden pukul, rampas dan koyak undi selain dakwaan calon dan pengundi hantu mahu ditutupi.

Bayangkan jika insiden yang dianggap 'tidak tertib' ini berlaku kepada UMNO mahu pun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain. Mereka akan mudah dilabel sebagai parti samseng dengan pemimpinnya diejek gagal mendidik ahlinya erti demokrasi.

Sebagai parti 'pelopor demokrasi', PKR seharusnya menerima kekalutan yang berlaku sepanjang tempoh pemilihan ini sebagai satu proses pendidikan politik. Mereka harus berani berdepan dengan sebarang kemungkinan kerana itulah risiko pemilihan terbuka.

Tetapi sekali lagi, seperti dalam kebanyakan isu lain, insiden yang hanya digambarkan sebagai 'tidak tertib' itu dikaitkan pula dengan anasir luar. Menurut Saifuddin, kepimpinan parti mempercayai kemungkinan ada anasir yang mahu mensabotaj bagi mencemarkan imej parti. Beliau menamakan anasir itu sebagai orang luar PKR.

Cuba kita telah siapakah anasir yang dimaksudkan oleh kepimpinan PKR itu?

Mesyuarat dan pemilihan PKR yang dikawal sepenuhnya oleh mekanisme parti itu tidak mungkin dengan mudah diceroboh oleh orang luar. Jadi telahan paling hampir anasir pengacau itu ialah orang PKR sendiri. Mungkin sikap agresif itu murni sebagai reaksi tidak puas hati dan protes ahli-ahli terhadap proses pemilihan. Insiden seperti ini bukan pertama kali berlaku melibatkan ahli-ahli parti ini.

Mungkin juga mereka daripada kelompok penyokong calon tertentu yang tidak berpuas hati lantaran merasakan calon yang disokong bakal kalah. Atau ada ahli yang merasakan hak mereka diabaikan.

Siapa pula kemungkinan anasir luar yang dianggap oleh kepimpinan PKR mahu mencemarkan imej parti? Ia mungkin orang upahan yang mempunyai kaitan dengan pimpinan PKR di cabang berkenaan. Mereka sengaja menimbulkan kekecohan sehingga memungkinkan mesyuarat ditangguhkan kerana peluang untuk menang yang tipis.

Atau mungkin maksud anasir luar itu ialah orang upahan daripada parti lain? Manakah parti lain yang berminat dengan urusan dalaman PKR yang semakin ditinggalkan oleh ahli dan pemimpinnya?

Atau ia hanya ilusi atau satu lagi teori konspirasi yang selalu ditiupkan oleh pemimpin tertinggi parti ini? Begitu sekali terdesaknya kepimpinan PKR untuk menonjolkan imej pelopor demokrasi yang serba bersih itu.

Ingat lagi penemuan kamera video amatur oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Gempar yang dicetuskan oleh Khalid sehingga kini belum diketahui hujung pangkalnya. Beliau terus meninggalkan misteri apabila enggan melaporkan penemuan itu kepada polis.

Sebagai parti yang selalu berbangga dengan demokrasi dijunjungnya, PKR seharusnya berani mengakui kelemahan dan masalah yang timbul. Bukan berpura-pura dan menyembunyikannya seolah-olah sistem demokrasi itu tiada cacat-celanya

Jika takutkan ombak janganlah berumah di tepi pantai. Jika takutkan anarki, janganlah buat pemilihan terbuka. Lagipun ini adalah pengalaman pertama. Apa salahnya mengakui kelemahan. Tetapi itulah mereka.

Kekalutan yang dicetuskan sendiri oleh kepimpinan PKR ini merupakan rentetan daripada banyak kelemahan dan ketempangan dalam proses yang mereka laungkan terbuka itu.

Seperti yang dinyatakan oleh calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim sendiri bahawa parti itu sebenarnya belum matang dalam mengamalkan ideologi yang didukungnya.

Kata pemilihan terbuka tetapi hakikatnya ada kumpulan yang bergabung untuk menentang calon lain. Bukan rahsia lagi Azmin Ali, pencabar Zaid bergabung dalam kumpulan yang dikatakan rapat dengan Anwar. Sepatutnya, seperti yang mereka laungkan, tidak seharusnya dibentuk kumpulan seperti itu.

Cabang juga ditekan untuk mencalonkan orang tertentu. Laungan PKR parti progresif tidak tercermin apabila barisan kepimpinan sebenarnya telah ditentukan terlebih dahulu.

Hanya pemimpin tertentu dalam kelas tertentu 'dibenarkan' bertanding. Zaid tokoh PKR yang disanjung tetapi dikategorikan sebagai orang baru pun mengalami kepayahan untuk berhadapan dengan kumpulan yang dikatakan dekat dengan Anwar.

Malah Anwar sendiri tidak mahu bertanding jawatan Presiden walaupun realitinya beliau menguasai sepenuhnya PKR dan menjadi Ketua Pembangkang. Namun ramai pihak percaya Anwar yang turut mendapat pencalonan mencukupi akhirnya akan bertanding jawatan Presiden.

Bagaimana pula dengan pemegang jawatan dalam kerajaan yang tumbang dalam pemilihan ini? Jika mengikut prinsip moral dan amalan demokrasi, Exco Selangor, Elizabeth Wong yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Petaling Jaya Utara (PJU) seharusnya meletakkan jawatan.

Walaupun Elizabeth membuat bantahan atas alasan teknikal tetapi hakikatnya kepimpinannya telah ditolak. Beliau dikalahkan oleh Lee Chin Cheh melalui sistem yang didakwa paling demokrasi itu.

Dakwaannya bahawa Chin Cheh tidak layak bertanding kerana baru berpindah ke cabang itu tidak mencerminkan kewibawaannya sebagai pemimpin. Walaupun mungkin dakwaannya nanti dibuktikan benar, ia tidak dapat menolak fakta bahawa beliau bukan pemimpin pilihan majoriti ahli.

Inilah juga nasib yang menimpa jaguh-jaguh PKR seperti Ketua PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abas dan Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub. Bersediakah mereka untuk menolak pencalonan untuk jawatan tertinggi setelah kalah di cabang sendiri?

Memang soal yang berkisar sekarang ialah sejauhmana keberanian kepimpinan PKR sebagaimana mereka berani membuat pemilihan terbuka?

2 comments:

Anonymous said...

umno yang buat kecoh tu..
umno yang curi undi...
umno yang koyak kertas umdi tuu,
umno yang p tumbuk orang tu...
hahhahahahaha...
ambik kau PKR
"PARTI KELUARGA RAKUS"

Anonymous said...

rbf:
zulkifli hamzah x popular di kalangan orang utusan, hata wahari lagi popular...hang mana tau hang dok tengok utusaj dari luar saja, kami dok dalam tau la...