Apabila isu fidlot menjadi heboh, saya hanya memerhatikan perkembangan tersebut dengan teliti. Ada beberapa perkara yang dapat saya kesan berdasarkan pemerhatian saya sebagai orang awam dan orang Islam.
Bagi saya, NFC yang baru hendak masuk tahun ketiga beroperasi mungkin mempunyai kelemahan di sana sini. Apatah lagi wujud perjanjian yang masih belum dan lambat ditandatangani dengan pihak kerajaan menyaksikan, operasi tersebut tidak dapat dijalankan secara menyeluruh. Lagipun NFC mengambilalih kerja-kerja yang ditinggalkan oleh sebuah syarikat dari luar negara yang sepatutnya menjadi kontraktor utama, membuatkan seluruh operasi terpaksa dimulakan dari awal.
Namun berdasarkan bukti-bukti serta selarinya dengan laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan sasaran 8,000 lembu bagi tahun 2010 telah dapat dicapai, saya melihat syarikat tersebut sedang berada di atas landasan yang kukuh dan tepat.
Saya tidak bermaksud hendak membela NFC kerana saya hanyalah seorang pembaca laporan yang disediakan oleh Ketua Audit Negara dan lawatan yang dibuat ke ladang tersebut baru-baru ini, hanyalah lawatan singkat. Beribu-ribu lembu yang saya lihat di ladang itu, mungkin baru sahaja dimasukkan ke kandang fidlot untuk mengelabui mata saya.
Jangan kata tidak mustahil, memandangkan Malaysiakini sebelum itu, melaporkan hanya seekor lembu yang kelihatan. Manakala Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution pula menyatakan, ladang tersebut memiliki kurang dari 100 ekor lembu walaupun penyembelihan yang dijalankan adalah 30 seekor sehari dengan menggunakan rumah penyembelihan kecil.
Saya melihat perkembangan masakini menyaksikan umat Islam yang sudah sekian lama ditindas dari segi ekonomi, mulai bangkit. Kalaupun tidak di seluruh dunia, saya melihat perkembangan itu di Malaysia.
Bantuan dan kesungguhan daripada kerajaan yang berteraskan Melayu UMNO berjaya menghasilkan sejumlah ahli-ahli perniagaan Melayu-Bumiputera dan Pribumi yang berjaya. Pasaran daging negara selama ini dikuasai oleh kartel-kartel yang dimiliki oleh bukan Islam. Walaupun halalan-toyyiban menjadi ungkapan yang menyegarkan telinga, sebenarnya penghasilan daging lembu untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini amat meragukan.
Hanya kerana umat Islam di negara ini mempunyai sikap 'tidak apa', maka umat Islam terus ditindas dan dizalimi. Sebarang usaha untuk memastikan sektor perniagaan, turut dikuasai oleh firma-firma Islam dan Bumiputera akan dicantas habis-habisan. Paling tidak pun, akan dipalitkan dengan label KRONISME dan RASUAH bagi menjatuhkan moral dan menyebabkan putus asa.
Sekitar tahun 1985 dahulu, apabila Malaysia berjaya menghasilkan Proton Saga, kaum yang sama menyatakan bahawa Proton Saga bukanlah sebuah kereta sebaliknya, TIN MILO YANG BERGERAK. Permintaan tinggi kerana harganya yang jauh lebih rendah berbanding kereta-kereta biasa, malangnya ia tidak boleh dipasarkan kerana pemasar-pemasar sedia ada mempunyai 'mutual understanding' dengan pihak-pihak taikun besar pemasar kereta.
Entiti baru diwujudkan untuk pemasaran. Proton Saga terus dikondem dan diboikot. Namun usaha tersebut gagal. Permintaan tetap besar dan akhirnya mereka mengalihkan taktik. Tidak lagi mengondem Proton Saga, sebaliknya mahukan hak untuk sama-sama menjual kereta tersebut.
Mereka berjaya memperolehinya dan mereka pun tutup mulut.
Perkara yang sama juga berlaku kepada FELDA, Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Runcit TUKAR, Bazar MARA dan sebagainya. Pemboikotan dan usaha mencantas dijalankan dengan sebarang cara, termasuklah dengan menggunakan orang politik dari golongan Melayu-Islam. Golongan yang sebenarnya lebih layak digelarkan sebagai BARUA ini, merupakan parasit yang bergergaji dua mata. Mereka mengambil upah yang kecil, tetapi pada masa yang sama, akan memastikan tuan-tuan mereka tidak terjejas dek penguasaan umat Islam dalam bidang perniagaan di negara ini.
Dari mulut BARUA-BARUA inilah ungkapan RASUAH, KRONI, PENYELEWENGAN dan sebagainya dapat didengar dengan mudah. Manakala taukeh-taukeh di belakang mereka, sekadar menyucuk dan menjanjikan pulangan besar kepada mereka sekiranya rancangan yang diatur berjaya.
Perhatikan sahaja bagaimana Amerika Syarikat menguasai pasaran minyak dunia, bahkan menentukan harga komoditi tersebut. Sedangkan hakikatnya pengeluar utama komoditi itu adalah dari negara-negara Islam. Taktik yang sama turut digunakan di negara ini, terutama dalam pemasaran barangan makanan dan barangan lain. Umat Islam hanya mengeluarkan, tetapi yang menjual serta mengaut keuntungan besar dairpada hasil yang mereka keluarkan adalah orang lain.
Seharusnya dalam hal ini, umat Islam yang berbangga dengan al Quran dan al Hadis, mampu membuka mata dan berfikiran secara matang. Jangan disebabkan mudah termakan hasutan, umat Islam kehilangan peluang yang Allah Taala anugerahkan kepada kita. Kalau Nabi s.a.w sendiri memberi jaminan bahawa 9/10 punca rezeki adalah daripada perniagaan, mengapa pula kita mencari-cari ruang untuk mematikan perniagaan saudara seagama kita dan membiarkan sekutu bukan Islam kita yang menjadi taukeh besarnya?
Cuba anda fikirkan dan renung-renungkan...